Kenangan Rabitah

Assalamualaikum,

Teringat kenangan di suatu pagi, di saat jiwa kami telah disentakkan akan hakikat medan amal ini, suasana di dalam bilik yang sempit itu bertukar menjadi sayu.

Lalu aku mengetuai mereka membaca doa ini.

Ya Allah Engkau mengetahui bahawa…
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu,
Bertemu untuk mematuhi perintahMu,
Bersatu memikul beban dakwahMu,

Hati-hati ini telah mengikat janji setia.
Untuk mendaulat dan menyokong syariatMu

Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini

Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar,

Penuhkanlah piala hati ini..
Dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu

Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu

Jika Engkau mentakdirkan kami mati,
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada’ dlm perjuangan agama Mu

Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini

Amin ya rabbal A’alamin..

dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana - Al Anfal, ayat 63

Amiruddin Hamidun.
7 November 2009,  4.41 petang
Nice, France

Ikhwah & Solat Subuh Di Masjid

Assalamualaikum,

Baru sahaja dua hari yang lalu aku melihat seorang tua, berbangsa Belgium mengucap syahadah di hadapan saf imam, di depan mataku, selesai solat maghrib berjemaah.

Aku cuba merakamkan situasi ini dengan telefonku, walaupun ada risiko untuk dimarahi jemaah masjid.

Niatku, semoga orang yang melihatnya akan tertanya-tanya akan dirinya…

“Apakah aku telah berusaha menyelamatkan umat dari kesesatan kuffar zaman ini?”

“Berapa ramai orang yang dah ku selamatkan sehingga kini?

Hari ini, aku terserempak dengan si tua yang baru 2 hari islamnya itu kembali. Dia dengan khusyuknya duduk di atas kerusi untuk solat subuh bersama-sama kami.

Astaghfirullah… seorang yang baru 2 hari sahaja memeluk islam, lebih awal hadir ke masjid untuk solat subuh.

Selesai solat, aku terfikir…

Di mana ikhwah yang sibuk pada siang & malam hari membincangkan kebun-kebun dakwah pada waktu ini?

Bagaimana boleh kita sibuk mengatakan peribadi mad’u-mad’u kita di saat mutabaah amal kita 0/7 untuk solat subuh di masjid?

Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir? - Al-Baqarah, ayat 44

……

………….

Amiruddin Hamidun.
6 November 2009,  7.48 pagi
Nice, France

Ayah & Kasih Sayang?

Assalamualaikum,

“Jangan lupa eh Mir, kena jadi seperti seorang ayah. Kasih sayang tu penting. Kita kena jadi seperti 4 watak ni,” kata Amin berulang-ulang kali.

Mungkin risau, takut-takut ada binaan yang terseksa akibat dihalakan ke sana sini, sehingga terabai fitrah manusiawinya.

Jeling cameraman

Ni pantun ringkas untuk Amin bagi menjelaskan segala-galanya.

Kalau bukan setitis tinta,
Takkan ku gubah sebait puisi,
Jika tidak kerna cinta,
Takkan hadir aku di sini.

=)

Amiruddin Hamidun.
3 November 2009,  4.07 petang
Nice, France

Medan Pertama

Assalamualaikum,

Medan yang pertama bagi kalian adalah diri kalian sendiri.

Apabila kalian berjaya menguasainya, maka kalian akan mudah menguasai orang lain. Dan apabila kalian remehkan untuk bermujahadah terhadapnya maka kalian akan lemah berdepan dengan orang lain.

Maka cubalah berjuang terhadapnya dahulu.

Ingat bahawa sesungguhnya dunia seluruhnya sedang menanti satu generasi daripada pemuda-pemudi yang dilengkapi dengan kesucian yang sempurna serta mempunyai akhlak yang kuat lagi mulia.

Amiruddin Hamidun.
3 November 2009,  9.38 pagi
Nice, France

Cabaran

Assalamualaikum,

Satu hari, si mutarabbi mengadu banyaknya masalah di medan amalnya. Ditambahnya lagi akan masalah-masalah peribadi dalam kehidupan yang menghimpit dirinya.

Lantas si murabbi menjawab…

“Da’i kena positif. Itu bukan masalah. Itu cabaran..”

OMG! C’est fou, non? HaHa

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” - Al Baqarah, ayat 286

Amiruddin Hamidun.
2 November 2009, 1.50 petang
Nice, France

Amal Qaedah Sulbah…

Assalamualaikum,

Juz 30 dah hafal?
Juz 29 dah nak habis hafal?

Qiam, dah boleh setiap hari?
Tilawah, sejuzuk sehari?

Ayat-ayat tadabbur, dah hafal? Amal?
Hadis arbain, dah dalam kepala?

Zikir, setiap masa?
Istighfar, selalu?

Masjid, setiap waktu?
Solat sunat, mesti buat?
Tarbiyah zatiyyah, setiap hari?

Amal haraki?
Akhlak diri?

Hu? Masih banyak yang tertinggal? Kata qaedah sulbah…

Amiruddin Hamidun.
29 Oktober 2009, 12.50 tengahari
Somewhere in France

Seorang Menyamai Seribu

Assalamualaikum,

Telah ku tulis mengenai kualiti SEORANG penggerak yang gerak kerjanya seakan-akan menyamai SERIBU orang.

Satu hari, aku menyampaikan perkara yang sama kepada sekumpulan ikhwah. Ada yang diam. Ada yang merenung tajam, seakan-akan memikirkan kebenaran hal ini. Ada juga yang melakarkan senyum sinis, mengatakan ia adalah kata-kata yang exaggerate.

Namun aku masih tetap yakin akan kebenarannya.

Apatah lagi melihat kualiti ikhwah/akhawat yang bekerja mengalahkan kerja sejumlah manusia. Kemampuannya menghasilkan output yang mengalahkan output satu katibah.

Padahal, dia juga sibuk dan mempunyai banyak tanggungjawab lain.

Bagiku ini bukannya perkara yang ganjil sekiranya kita menghayati sirah. Kerana sirah adalah perkara benar yang telah terbukti.

Siapa Abdul Rahman bin Auf sebenarnya?
Siapa dia Khalid Al-Walid?
Siapa Saad bin Abi Waqqas?

Memetik tulisan di sebuah web :

Masyarakat muslim cukup unik binaan strukturnya. Islam mendidik individu-individunya agar setiap orang daripada mereka menjadi satu unit yang lengkap lagi melengkapi. Dia seumpama batu-bata yang teguh, disusun bersama batu bata yang lain dalam binaan yang besar.

Proses ini bermula sejak pembentukan masyarakat Islam pertama di bawah petunjuk Nabawi. Antara seruan pertama Islam ialah sabda Rasul s.a.w (yang bermaksud):

“Allah memberi hidayah melalui kamu seorang lelaki lebih baik bagi kamu daripada unta Humr an-Ni’am (jenis unta yang paling tinggi nilainya)” [Muttafaq ‘alaih)

Semenjak saat itu, setiap individu daripada generasi awal Islam memikul fikrah Islamiah dan aqidah yang murni dalam pemikiran mereka, begitu juga keimanan yang mendalam dan mantap di dalam jiwa-jiwa mereka.

Sehingga ianya terserlah dalam kata-kata, tingkah laku dan gerak diam mereka. Setiap individu di kalangan mereka seolah-olah membentuk sebuah umat. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w terhadap peribadi Abu ‘Ubaidah al-Jarrah: “Dia diutuskan sebagai sebuah umat”

Khalid al-Walid di medan perang mewakili sebuah umat. Beliau bertanggungjawab melemah dan menumbangkan Rom di tanah Arab.

Abdul Rahman bin ‘Auf di dalam bidang ekonomi mewakili sebuah umat. Dialah yang berperanan memecahkan monopoli Yahudi di Madinah yang sekian lama sebelumnya menguasai kegiatan ekonomi Madinah.

‘Umar al-Khattab dalam soal keadilan mewakili sebuah umat. Lorong-lorong Madinah dijelajahinya untuk menangani permasalahan rakyat. Gabenor dan penguasa dihimpun setiap tahun untuk dikaji siasat. Perhimpunan haji saban tahun dijadikan tele-aduan umat.

Mus’ab bin ‘Umair pula dalam usaha da’wah mewakili sebuah umat. Tiada satu rumah di Madinah melainkan dimasuki sinar da’wah Islamiah dan petunjuk al-Quran.

Mu’az bin Jabal dalam soal halal haram mewakili sebuah umat. Zaid bin Thabit dalam soal hukum hakam pusaka mewakili sebuah umat. Banyak dan banyak lagi contoh individu di kalangan mereka yang sedemikian.

Benarlah kata-kata mereka yang menyifatkan:

“Suara Qa’qa’ di medan perang menyamai seribu pahlawan”. Bukankah beliau mampu menyusun kembali tentera muslimin yang kucar kacir, menaikkan semangat juang mereka, mengacau bilaukan musuh, mencari titik kelemahan mereka dan lain-lain lagi.

Setiap seorang daripada mereka hanyalah seorang individu, tetapi dengan tekad kemahuan serta amal kerja, dia seolah-olah sebuah umat, mengubah wajah sejarah dengan usahanya itu. Sebagaimana yang dikatakan:

“Amal praktik seorang lelaki di kalangan seribu lelaki lebih baik daripada kata-kata seribu lelaki kepada seorang lelaki”.

Mereka berusaha seolah-olah tiada sesiapa di sekelilingnya yang turut bekerja bersamanya. Seolah-olah dia ingin memulakan binaan Islam dengan tangannya dan menyempurnakannya dengan tulang empat keratnya.

Kesungguhan inilah yang didapati oleh ‘Umar al-Khattab di kalangan tenteranya. Beliau berkata:

“Sungguh mengkagumkan aku, panglima perang yang jika kamu melihatnya, kamu menyangkanya seorang tentera bawahan yang patuh. Mengkagumkan aku juga, tentera bawahan yang jika kamu menyaksikannya, kamu menyangkanya seorang panglima berkaliber”.

Lantaran ini, mereka telah merubah sejarah dunia, memimpin dan membinanya dengan baik. Tiada seorang pun di kalangan mereka yang memperkecilkan dirinya atau apa yang dilakukannya. Mereka amat memahami sabda Rasulullah s.a.w:

“Sampaikan daripada aku walaupun sepotong ayat” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Amal kerja dan sumbangan mereka tidak terhenti di satu tahap, bahkan ke penghujung nafas yang terakhir. Lihatlah Abu Ayyub al-Ansori yang mati syahid di pinggir pagar kota Konstantinople dalam usianya 80 tahun.

Pada saat kematiannya, dia tidak menghentikan sumbangannya kepada Islam, bahkan menyampaikan kepada muslimin sebuah hadis yang pernah didengarnya daripada Nabi s.a.w:

“Sekiranya Kiamat berlaku sedangkan di tangan salah seorang daripada kamu anak pokok, maka tanamkanlah ia” [Diriwayatkan oleh Ahmad]

Nilai dan sikap ini satu fenomena biasa di dalam masyarakat muslim pada sepanjang zaman. Setiap individunya menjadi batu-bata kepada binaan Islam yang agung. Mereka saling memperkukuhkan yang lain dalam segenap bidang dan lapangan. Hasil usaha mereka yang gigih, sesiapa yang melihat binaan Islam akan berkata:

Alangkah indahnya! Alangkah hebatnya Islam! Dengan penuh tawadhu’ dan ikhlas, mereka tidak rela diri mereka hidup dengan kehidupan haiwan yang didambakan oleh mereka yang kufur kepada Allah.

“Dan orang-orang yang kafir berseronok dan makan seperti binatang ternakan makan. Nerakalah tempat mereka” [Muhammad: 12]

Mereka tidak akan duduk berpeluk tubuh melihat sekeliling tanpa melakukan sesuatu. Akan tetapi mereka mengangkat slogan Nabi s.a.w:

“Orang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan yang saling kuat menguat satu sama lain” [Muttafaq ‘alaih]

Lantaran itu kita dapat lihat Ibnu al-Haitham, Ibnu al-Nafis dan Ibnu Rusyd saling lengkap melengkapi kepakaran mereka. Setiap seorang daripada mereka saling menguatkan yang lain untuk meninggikan binaan Islam.

Akan tetapi pada zaman yang semakin kabur ghayah, bercampur aduknya visi hidup serta bersimpang siurnya misi masyarakat, pada saat yang sama binaan Islam semakin goyah dan rapuh, siapakah yang ingin mewakili umat mengembalikan binaannya yang agung?

Siapakah yang akan mewakili umat mengembalikan manusia kepada Tuhannya, memerdekakan mereka daripada belenggu syahwat, hawa dan material?

Siapakah yang akan mewakili umat menyelamatkan mereka daripada kejahilan?

Siapakah yang akan mewakili umat mempamer keindahan kesyumulan Islam dan membongkar wajah hodoh sekular? siapakah yang akan mewakili umat mengembali martabat syari’at serta menumbang kezaliman hukum manusia? Siapakah yang akan mewakili umat menyekat ancaman serangan Zionis dan Salibi Antarabangsa?

Siapakah yang akan mewakili umat memecah monopoli Yahudi dan US, menyediakan barangan alternative kepada barangan mereka?

Siapa? Siapa? Siapa?

Pastikan kita!

Pastinya di zaman ini masih ada mereka yang menjadi benteng terakhir islam di saat umat di’tarbiyah’ dengan jahiliyyah setiap masa di setiap tempat.

Bilangannya tidak ramai tetapi kualitinya yang meramaikan jumlahnya itu.

Amiruddin Hamidun.
23 Oktober 2009, 1.19 tengahari
Somewhere in France

Sirah Kontemporari - Umar Mukhtar

Assalamualaikum,

Umar Mukhtar, seorang guru sekolah di Libya yang tiba-tiba sahaja menjadi panglima perang di kala usianya telah lanjut akibat dari penjajahan Itali di bumi Islam pada waktu itu.

Berperang selama 20 tahun (1912-1931). Menggunakan kuda dan senapang menentang kapal terbang, kereta kebal, kereta perisai, artileri dan kelengkapan canggih lain pada masa itu.

Strategi Umar Mukhtar telah memeningkan kepala jeneral-jeneral perang Itali pada ketika itu, sehingga berlaku banyak pertukaran dari tahun ke tahun.

Kisah Umar Mukhtar dan mujahidin Libya digambarkan dengan baik di dalam filem oleh Moustapha Akkad.

Umar Mukhtar Movie Playlist 1-16

Dari mana datangnya askar-askar yang menyerah diri kepada Umar Mukhtar untuk turut serta melawan penjajah Itali pada ketika itu?

Tarbiyah.

Amiruddin Hamidun.
21 Oktober 2009, 8.03 pagi
Somewhere in France

Terasa Dekat

Assalamualaikum,

Hatiku terasa begitu dekat dengan mereka. Aman melihat amal mereka. Bangga melihat produk tarbiyah mereka. Bertambah kuat melihat semangat mereka.

Seakan-akan mereka memapahku, berlari membawaku melaju.
Ibarat muwajih maya yang meniup ruh keimanan dan semangat.

Biarpun tak pernah berkenalan.
Tak pernah berjumpa.
Tapi terasa sangat dekat…

Aku melihat mereka mengetuk hati-hati manusia dengan pantas. Dari segala jenis uslub dan wadah. Menuju ke satu manhaj dan fikrah yang jelas.

Mereka mengetuk pintu hati dengan laungan islami di konsert-konsert.

Mereka mengetuk pintu hati dengan nyanyian fikrah massa.

Mereka mengetuk pintu hati dengan media kreatif sebagai uslub tajmik.

Mereka mengetuk pintu hati manusia dengan taujih di setiap pelusuk. Ibarat menyahut seruan nabi untuk mengetuk setiap pintu-pintu rumah badwi di pedalaman.

Mereka mengetuk pintu hati dengan karya seni perfileman. Menunjukkan qudwah seorang abid dan khalifah.

Hati kami terasa sangat dekat…
Di mana datangnya perasaan ini?

dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. - Al-Anfal, ayat 63

Impianku ingin menghasilkan gelombang sehebat mereka. Meniup ruh-ruh fikrah islami ke seluruh pelusuk dunia.

Agar islam berdaulat.

Supaya setiap muslimin itu menjadikan hidupnya itu antara dua :

Mati syahid atau hidup mulia.

Amiruddin Hamidun.
16 Oktober 2009, 9.20 pagi
Somewhere in France

Mati

Assalamualaikum,

Mati… bila? sakit?
Kubur… berehat? tempat seksaan?
Padang mahsyar… selesa? lama? takut?
Akhirat… syurga? neraka?

Dosa & pahala : Berapa banyak?

Amiruddin Hamidun.
15 Oktober 2009, 9.49 pagi
Somewhere in France

Next Page »


Nak Buat Website? Guna DevHub!

Subscribe RSS

Tiga Perkara

1. Tarbiyahku.
2. Tarbiyah mereka.
3. Mata pencarian.

Visitors